Engkau seorang yang tekun bekerja
Pagi menorah, petang menjala
Kekadang terlupa hari dah senja
Keringatmu membasahi tubuh
Engkau tak pernah mengenal erti lelah
Sekarang
Engkau tidak lagi memegang pisau
Tidak lagi memegang parang
Engkau hanya memegang tongkat
Buat menghalang badan yang hampir rebah
Dahulu
Engkau seorang penoreh getah
Engkau seorang tukang rumah
Engkau seorang mekanik
Engkau seorang nelayan
Sekarang
Engkau hanya duduk berteleku seperti mandor
Mengarah isteri dan anak-anak untuk memainkan peranan
Seperti semasa engkau gagah dahulu
Dahulu
Engkau memancing ketika masa terluang
Kemana tidak engkau jejak
Ke suak, sungai, tasek dan laut
Malah ke lombong-lombong tinggal
Lampam, pari, sembilang dan talipia
Menjadi lauk buat isteri dan anak-anak
Tatkala wang dipoket semakin susut
Sekarang
Engkau hanya menunggu makanan terhidang di depan mata
Itulah rezeki buat engkau
Ikan kembung yang digoreng atau dimasak lemak
Jika tiada, hanya nasi dicampur air masak
Dahulu
Engkau seorang doktor tradisional
Mengubat pesakit yang datang
Hampir dari seluruh pelusuk negeri
Terkena santau engkau ubatkan
Terkena barah engkau ubatkan
Moga ikhtiar beroleh balasan
Sekarang
Engkau menjadi seorang pesakit
Terlantar lesu di penjuru
Sekejap menangis sekejap merintih
Rutin harian menunggu masa untuk makan ubat
Dahulu
Engkau seorang yang bengis
Pantang selisih engkau memberontak
Tak fikir sahabat, saudara malah anak-beranak
Mulut dan tangan sama-sama menapak
Sekarang
Bila engkau marah engkau menangis
Bila engkau geram engkau menangis
Bila engkau gembira engkau menangis
Bila engkau sedih engkau menangis
Dahulu
Engkau seorang yang gagah
Siapa tak kenal guru silat yang gah
Mendapat pingat dari pemerintah
Mungkin terkadang engkau bermegah
Hingga terlupa yang maha gagah
Sekarang
Engkau perlu bantuan isteri
Engkau perlu bantuan anak-anak
Engkau perlu batuan cucu
Engkau perlu bantuan yang maha kuasa
Agar engkau tidak jatuh ditimpa tangga
Dahulu
Tidak mungkin seperti sekarang
Sekarang
Tidak mungkin seperti dahulu
Namun
Sejarah pasti berulang
Hidup bukan satu pilihan
Tapi harus diteruskan
No comments:
Post a Comment