Friday, September 6, 2013

Syawal sudah tamat...



Bismillahirrahmanirrahim


Tamat sudah sebulan Syawal yang telah kita raikan bersama dengan orang – orang tersayang.

Bagaimana dengan amal dan kerja buat kita semua? Adakah masih istiqamah membaca al –quran, qiam di malam hari dan sentiasa mengalunkan zikir di bibir?


Sedahkan kita semua menyudahkan sunat berpuasa 6 seperti berpuasa setahun? Subhanallah... sungguh indah aturan Allah dalam menetapkan segala tingkat kehidupan setiap manusia.


Sesungguhnya makhluk Allah di dunia ini sentiasa inginkan kecantikan dan kesempurnaan dalam setiap sudut mata memandang. Namun, tidakkah kesempurnaan itu sentiasa membawa kelalaian kepada manusia? 
Beruntunglah manusia yang tidak lalai dengan kesempurnaan yang diperolehi di dunia ini.


Ya Allah, kembalikanlah aku seperti semasa aku kecil dahulu...pernah kita meminta kepada Allah. Dapat bermain tanpa memikirkan belanja dapur yang tidak mencukupi, dapat tidur nyenyak tanpa memikirkan hati orang sekeliling terluka, dapat menghiburkan hati tanpa memikirkan ibu bapa yang lelah bekerja. Sekarang kita sudah dewasa. Kitalah yang memikirkan belanja dapur yang tidak mencukupi, kitalah yang memikirkan hati siapa yang terluka dengan perbuatan dan percakapan kita, dan kita jugalah yang sayu memikirkan ibu bapa yang telah penat membesarkan kita.


Kitalah insan itu. Jangan lari dengan aturan hidup yang Allah telah janjikan, di dalam rahim, ke dunia, ke alam kubur, akhirat , syurga atau neraka.


Mohonlah hidayah dari Allah dan sentiasa kukuh dengan keimanan yang telah dicampakkan ke dalam hati kita. Jangan sesekali lelah dengan perjuangan hidup bergelar seorang HAMBA. Allah itu ada, dan Dia tempat kita kita meminta.



Ya Allah, berikanlah aku hidayahMu, petunjuk menjadi hambaMu yang soleh, suami/isteri yang soleh, keluarga yang soleh dan barakah, anak –anak yang terdidik dengan ilmu al – Quran dan as –Sunnah yang dipakai nabi Muhammad SAW. Amin ya rabbal alamin.

Tuesday, September 3, 2013

Maka..nikmat Allah yang manakah yang engkau dustakan?



Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah..setelah beberapa tahun tidak menulis, hari ini Allah memberikan kesempatan untuk saya menggerakkan jari jemari saya di punat – punat huruf milik computer riba suami tersayang.


Keadaan putaran hidup kita sentiasa berubah mengikut waktu, ujian, nikmat dan qada serta qadar Allah. Setiap hari rutin yang sama diikuti, namun dengan ujian yang berbeza menanti. Jadi, mengapakah manusia merasa bosan dengan apa yang mereka lakukan setiap hari? Sedangkan setiap hari itu ada sesuatu yang kita tidak tahu apa yang bakal kita lalui. Harapnya, dapatlah kita melalui hidup ini dengan proses hidup yang sentiasa positif. 

Nikmat Allah ini bukan sahaja dalam bentuk yang menggembirakan tapi juga dalam bentuk kesedihan kerana “maka nikmat Allah yang manakah yang kamu dustakan”?jika kamu tidak rasa sedih, mungkin tidak ada manusia atau insan yang kamu ketahui sanggup menjadi peneman kamu susah dan senang. Setiap sesuatu itu ada hikmah yang besar.

Nikmat yang dikutip setiap hari jangan dibuang di simpang siur perjalanan hidup kita, kerana dengan bekal nikmat itulah kita mampu hidup dalam ketenangan dan bersyukur dengan nikmat yang Allah sajikan.
Bila kita bangun pagi, ucapkanlah Alhamdulillah kerana Allah telah memberikan nikmat kehidupan kepada kita sekali lagi untuk bertemu dengan setiap orang yang ada di sekeliling kita, mendengar setiap perbualan orang yang jauh dari kita, mengingati orang yang telah lama tidak bertemu dan memberi sedekah kepada setiap orang yang telah meninggalkan kita. Al –Fatihah.

Sungguh besar nikmatMu ya Allah sehiangga kadang – kadang terlupa nikmat itu boleh ditarik jika tidak menghargainya. Ya Allah, kurniakanlah aku dengan setiap nikmatMu, nikmat kesihatan, nikmat rezeki yang murah dan melimpah ruah, nikmat dipanjangkan umur, nikmat berjumpa dengan orang yang baik, nikmat keindahan alam dan nikmat hidup sesama makhluk yang tidak bersengketa. Amin ya rabbal alamin.

Penulisan yang tidak istiqamah ini harapnya tidaklah diikuti oleh penulis yang lain kerana percambahan idea anda akan berkurang bila anda tidak melakukan penulisan;)