Wednesday, December 31, 2008

Perasaan selepas membaca buku kisah-kisah paderi memeluk islam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Terharu dan kagum, itulah perasaan yang muncul dalam diri saya apabila mula membaca buku Kisah-kisah Paderi Memeluk Islam. Maha suci Allah yang memberi hidayah kepada mereka kerana mereka mahu berfikir tentang setiap kejadian yang berlaku dalam diri mereka. Saya berasa kagum kerana seorang yang sangat kuat agamanya (semasa memeluk agama kristian) mampu mengubah haluan hidup yang telah dipegang bertahun-tahun lamanya kepada agama yang lain iaitu ke jalan yang benar iaitu agama Islam. Bukan mudah untuk mengubah agama yang telah dipraktikkan sejak bertahun-tahun lamanya. Namun, perkara tersebut tidak mustahil kerana segala kebenaran dan persoalan yang timbul pasti dapat dirungkai oleh Al-Quran tanpa sebarang syak seperti yang telah dilakukan oleh paderi-paderi ini dalam mencari kebenaran yang hakiki.
Saya terfikir, kita yang dilahirkan sebagai seorang muslim, tetapi tidak mendalami dan menghayati al-Quran itu sendiri akan terpesong atau goyah agamanya. Hal inilah salah satu perkara pokok yang tidak diperteguhkan dalam diri kita umat Islam iaitu mempelajari, membaca dan memahami intipati yang terdapat dalam kalam Allah yang disampaikan kepada seluruh umat manusia sehingga ramai yang murtad.
Saya amat tertarik apabila membaca kisah Dr. Jerald F. Dirks (Abu Yahya), bekas Paderi Gereja United Methodist iaitu bagaimana cara beliau menemui keindahan Islam dalam diri sahabatnya Jamal sehingga beliau tertarik dengan Islam. Ekoran daripada itu, beliau memeluk agama Islam. Bukan secara paksaan, kekejaman atau keganasan tetapi melalui akhlak dan moral yang tinggi mampu menarik golongan bukan islam untuk memeluk agama islam. Hal ini sama seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu secara berhemah dalam menyampaikan dakwah Islam sehingga Islam tersebar ke seluruh dunia.
Tidakkah kita menjadi seorang Muslim yang dalam kerugian kerana telah berada sebagai seorang yang dilahirkan beragama Islam tetapi masih terkapai-kapai mencari kebenaran sedangkan kebenaran itu berada di hadapan mata? Yang memisahkan kita hanyalah kecuaian kita yang tidak mahu berfikir.
Kekuatan cinta serta amat bersyukur kepada Allah SWT dengan segala nikmat yang diberikanNya sehingga saya berubah menjadi diri saya sekarang, insyaAllah kearah yang lebih baik. Saya memohon maaf jika terdapat sebarang kekeliruan atau kesalahan dalam penulisan ini. Saya berharap tulisan saya ini tidak memesongkan aqidah dan menjatuhkan maruah sesiapa sahaja. Perkara yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah kelemahan saya sendiri.

No comments: