Saturday, April 11, 2009

Seni Mempertahankan Diri- Silat Lintar



Silat merupakan seni mempertahankan diri khususnya bagi orang Melayu. Terdapat pelbagai jenis silat di Malaysia antaranya, silat cekak, gayung, lintar, pulut, sendeng dan sebagainya. Namun, kita kebiasaannya sering mendengar tentang silat cekak.

Kali ini saya akan menceritakan serba sedikit tentang silat lintar atau lebih dikenali sebagai silat cekak. Namun, beberapa guru silat di Pahang lebih suka menggelarkannya silat lintar. Hal ini kerana, terdapat beberapa perbezaan yang ketara antara silat cekak dan silat lintar. Menurut Pak Hadi, iaitu seorang guru silat di Perak, Silat lintar ini merupakan seni mempertahankan diri yang berasal dari Jawa, Indonesia. Seni mempertahankan diri ini dipelajari oleh masyarakat Melayu. Mengikut cerita, Guru utama silat ini ialah seorang wanita yang berasal dari Sumatera bernama Susunandung. Namun, kesahihannya tidaklah diketahui kerana sesuatu mitos atau lagenda boleh ditokok tambah oleh pencerita jika dibandingkan dengan sejarah yang memang tepat faktanya.

Silat lintar mempunyai gerak aksi yang jika dilihat agak sumbang atau kekok. Silat ini amat berbeza dari silat-silat yang lain. Hal ini kerana, contohnya, silat lintar- jika pengamalnya menumbuk musuhnya, dia tidak akan mengambil ‘ambang’ atau perlu mengumpulkan tenaga yang kuat untuk sesuatu pergerakan. Pengamalnya, akan menghantar penumbuk kepada pihak lawan untuk mengumpan bagi melihat gerak geri musuh untuk tindakan seterusnya.

Dalam permainan silat lintar ini pesilat mempunyai kunci-kunci dalam aksinya dan setiap kunci tersebut mempunyai cara untuk melepaskan diri dan seterusnya membalas ‘buah pukulan’ yang dihantar oleh musuh. ‘Buah pukulan ’ merupakan aksi seperti tumbukan, sepakan, dan sebagainya sebagai alat untuk melawan musuh.
Bagi pengetahuan pembaca, silat lintar agak unik. Hal ini kerana, silat ini tidak memerlukan tenaga yang kuat untuk melawan musuh sebaliknya ia banyak menggunakan tenaga dari pihak lawan yang diserap dengan menggunakan teknik yang betul. Terdapat nama-nama dalam silat lintar ini yang menggambarkan buah-buah pukulan tersebut seperti ‘cekak tua’, ‘filim’ dan ‘pasung’.

Silat lintar menghentam atau melawan musuhnya di bahagian-bahagian yang boleh membawa maut atau mencederakan musuh contohnya di bahagian belakang kepala, bahagian mata, telinga, halkum, dada, bawah ketiak, tulang rusuk dan kemaluan. Silat ini tidak sesuai untuk pertunjukan atau untuk memasuki pertandingan kerana silat ini agak berbahaya. Pengamalnya telah diajar bahawa setiap ‘buah pukulan’ yang diturunkan kepada mereka agak berbahaya untuk dipertontonkan, dikhuatiri akan memudaratkan pihak lawan semasa petunjukan tersebut.

Silat lintar juga tidak mempunyai ‘bunga’ sebagai permulaan. Silat ini bergantung kepada langkah yang akan dilakukan seterusnya untuk beraksi.

Dari temubual yang saya lakukan, pengamal silat ini juga mempunyai ilmu batin yang diserapkan kepada tubuh untuk menguatkan lagi tubuh badan seperti silat-silat yang lain. Mereka akan membaca ayat-ayat al-Quran seperti ayat Kursi, surah empat Khul dan lain-lain. Terdapat juga rahsia tentang ayat-ayat yang digunakan oleh si pengamal kerana ada unsur-undur pantang larang yang diberitahu oleh guru mereka.

Silat lintar ini mempunyai penamatnya. Namun, setelah dikaji penamatnya mempunyai tempoh masa yang agak lama seperti 10 tahun sehingga 15 tahun bergantung kepada guru silat tersebut. Oleh yang demikian, silat lintar ditamatkan sendiri oleh gurunya setelah melihatkan kepada kebolehan dan kemahiran yang ada pada anak muridnya.
Secara asasnya, penamat silat lintar ini adalah seperti, satu kain rentang akan diletakkan disekeliling pelajar yang akan menamatkan silat ini sejauh satu hasta. Guru silat akan mengambil keris dan mencucuk sesuka hati kepada kain rentang tersebut. Pada masa yang sama, pelajar atau anak muridnya perlu mengelak setiap tujahan keris yang di acukan kepada anak muridnya. Kemudian, sekiranya pelajar tersebut dapat mengelak setiap tujahan keris, maka tamatlah sudah pelajarannya dalam ilmu persilatan lintar ini. Jika dilihat, mungkin nampak mudah penamatnya, namun terdapat perkara-perkara lain yang akan dinilai untuk menamatkan pembelajaran silat lintar.

Kesimpulannya, pelbagai jenis cara dapat dilakukan sebagai cara untuk mempertahankan diri. Salah satunya ialah dengan mempelajari ilmu persilatan. Akan tetapi, seni mempertahankan diri adalah untuk mempertahankan diri bukan untuk menunjukkan kehebatan dan kehandalan individu.

2 comments:

Pipi Fiq said...

boleh tau dari mana dpt cerita ini

Pipi Fiq said...

boleh tau dari mana dpt cerita ini