Monday, April 5, 2010

Tanggal 1.4.2010 -3.4 2010 aku, kak nisa, munirah, zakaria, abg nizam dan ustaz Kamaruddin menaiki unser ke Pattani. Kami ke sana untuk menziarahi keluarga yang ditembak iaitu Keluarga bardatee sempena 40 hari kematian dia dan ibunya. Selain itu, kedatangan kami adalah untuk menyiapkan laporan yang sudah bertangguh dan urusan mengadakan program pada 1.5.2010-9.5.2010 di Pulau Pinang.


Sesampainya kami di sini, keadaannya seperti biasa. Aman damai dan orang ramai menjalankan rutin harian masing-masing.


Kami memulakan program kami dengan merasai keenakan makanan dari bumi Pattani. Tanpa berlengah kami menuju ke Yala. Di sana Chu Ya dan Huda sedang menunggu kami. Alhamdulillah, kami dipanjangkan umur untuk bersua kembali dengan sahabat di Pattani.


Seusai solat jamak’ dan makan malam. Kami meuju ke Pejabat Deep Peace untuk menyiapkan laporan dan saya bertemu Chu Ya bagi menerangkan program yang akan dijalankan di Pulau Pinang. Kami berbincang secara serius dan setelah tamat sesi perbincangan aku dan Munirah dihantar ke tempat penginapan sementara abg nizam dan Kak nisa meneruskan kerja menyiapkan laporan. Manakala zakaria dan ust.din membuat kerja masing-masing.


Sebelum sampai di Pattani, abg nizam telah memberikan tugasan buat kami semua. Aku akan menyiapkan bahagian latar belakang HAP dan Deep Peace, munirah menjadi penulis manakala Zakaria sebagai jurukamera dan video.


Tanggal 2.4.2010, kami dikejutkan dengan satu Lgi kes tembakan yang mengorbankan 3 nyawa di sebuah restoran dan 6 orang di satu kawasan yang lain. Kami bergegas ke tempat kejadian walaupun hajat hendak ke kampung Kucing Lepas.


Aku sedikit berdebar-debar untuk ke tempat kejadian. Mungkin kerana ini pengalaman pertama buat aku. Setelah sampai di gerai yang dimaksudkan, kami di sambut oleh keluarga mangsa dan orang kampung yang ada di situ.


Kami ke sini ditemani oleh Darani dari deep Peace, chu Ya dari HAP dan Saudara A’thif bekas pelopor kebangkitan mahasiswa terutamanya muslim di Pattani.


Tidak sampai 5 minit kami di rumah mangsa, beberapa orang askar telah datang ke tempat kejadian dan bertanyakan kami beberapa soalan. Mujur A’thif dan Chu Ya ada untuk membantu. Saat ini, hatiku memang berdebar-debar. Kerana masih kagi tidak biasa dengan keadaan sebegini. Bagi penduduk di sini, itu perkara biasa dan mereka sudah lali dengan situasi askar yang datang ke rumah. Untuk laporan keadaan keluarga dan laporan penuh berkenaan dengan kes ini anda boleh lawati blog http://amanpattani.blogspot.com/ atau http://urusetialandas.blogspot.com/

Jam 5 petang, kami meneruskan perjalanan ke ban Kucing Lepas (Kampung Kucing Lepas) untuk menziarahi keluarga Bardatee yang mengadakan sedikit kenduri. Walaupun perut kami masih kenyang setelah makan bersama dengan askar tadi, kami tetap makan di rumah ini kerana mereka amat menanti kedatangan kami dan menyediakan lauk-pauk yang sedap-sedap belaka.


Tersentuh hati aku bila melihat anak cilik ini bermain bersama sepupunya Ya. Hikam yang telah kehilangan ibu dan ayah akibat ditembak masih lagi takut dan ragu-ragu untuk bersalaman dan bermesra dengan kami. adiknya yang baru berusia 1 tahun 3 bulan terpinga-pinga melihat kedatangan kami. anak yatim yang tidak mengerti apa-apa. Chu Ya meluahkan hasrat untuk mengambil mereka sebagai anak angkat. Semoga nasib mereka terbela kelak. InsyaAllah.


Malam tu kami kepenatan. Tapi ada misi lain yang perlu diteruskan. Aku perlu mendapatkan latar belakang Deep Peace dan HAP untuk laporan. Tapi, malangnya lain yang jadi. Abg nizam keluar tanpa memberitahu aku dan Munirah. Oleh itu, kami tertidur hingga ke subuh.
Hari terakhir kami di sini, kami mengambil sedikit masa untuk membeli belah dan seterusnya ke ladang garam di daerah Pattani. Pada masa ini, garam telah dapat ditarik dan hasilnya telah boleh di jual. Setiap segantang harganya 10 kok.


Kami meneruskan perjalanan pulang ke Pulau Pinang dan aku sampai di rumah pada jam 11.00 malam. Alhamdulillah, aku dan yang lain selamat sampai.

1 comment:

Mengharap RedhaMu said...

Moga hati dan iman akan terus kukuh dengan kedatangan kalian ke sana. Sememangnya harus bagi Umat Islam mambantu saudara mereka yang kesusahan. Mengapa ia terjadi/berlaku adalah urusan Illahi. Ada hikmah disebalik semua itu. Allah menjanjikan yang terbaik bagi mereka yang Syahid....alangkah indah kiranya diriku dapat mengikut jejak mereka yang syahid...tp Allah Maha Mengetahui....sememang itu jua cita2ku dari kecil hingga akhir hayat...untuk Mati Syahid. Tapi adakah perjuangan mereka berbaloi???