Wednesday, March 25, 2009

Impian KAsih


Al-Quran banyak berbicara tentang cara membentuk dan mengatur keluarga muslim ke arah mencapai kebahagiaan, diantaranya persoalan pernikahan, perceraian, kewajiban nafkah, tanggungjawab terhadap anak-anak dan kedua orang tua, warisan (pembagian harta pusaka) dan sebagainya.

Tidak dinafikan bahawa setiap manusia yang hidup menginginkan kebahagiaan, kerana hidup yang tidak bahagia merupakan sesuatu yang tidak dikehendaki oleh sesiapapun diantara kita. Kebahagiaan yang diinginkan itu mencakupi seluruh aktiviti hidup seperti kesihatan badan, kebahagiaan rumahtangga serta kebahagiaan dari semua aspek kehidupan kita di dunia ini. Setelah itu haruslah berlandaskan atas dasar Mahabbah (kasih sayang) dan belas kasihan diantara keduanya.

Firman Allah SWT didalam Al Quran Surat Ar-Rum ayat 21:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.[1]

Rasulullah SAW membentuk keluarga bahagia dengan para isterinya berdasarkan kepada contoh-contoh teladan yang digambarkan dalam setiap gerak-geri dan tutur kata beliau. Rasulullah SAW sangat menyayangi isteri-isterinya dan sentiasa adil dalam melaksanakan tugas beliau sebagai seorang suami, pendakwah, kekasih Allah dan banyak lagi gelaran yang diberikan kepadanya.

Walaupun beliau seorang yang sibuk terutama sekali dalam menyebarkan agama Allah iaitu Islam, Rasulullah SAW tidak mengabaikan isteri-isterinya. Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang baik di dalam mengatur pergaulan dengan isteri-isteri baginda, menginginkan kebaikan dan merealisasikan keadilan dalam kalangan mereka. Selain itu, baginda juga tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada anak-anaknya. Baginda sentiasa mencari masa yang terluang untuk bersama-sama dengan anak-anak dan cucu-cucunya.

Bagaimana Rasulullah mampu melakukannya? Apakah kaedah-kaedah yang dilakukan oleh beliau sehingga dapat mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia, harmoni dan aman. Beberapa kaedah tersebut ialah pembahagian yang adil, menghormati pendapat isteri, membantu kerja-kerja rumah, menjauhi dari memukul isteri, menunjukkan kesetiaan kepada isteri yang telah meninggal, bersenda gurau dan menunjukkan muka yang manis dan mendamaikan perselisihan antara Rasulullah dan isteri. Hal ini diterangkan dalam al-Quran dalam surah al-Ahzab: 28-29.

28. Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, marilah supaya kuberikan kepadamu mut’ah (sagu hati) dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. 29. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang yang berbuat baik di antaramu pahala yang besar.[2]

Rasulullah SAW bukan sahaja sayangkan isteri-isterinya malah baginda juga sayangkan anak-anak dan cucu-cucunya. Baginda sangat rapat dengan anak-anaknya. Dalam satu riwayat menyebut bahawa suatu ketika Rasulullah SAW mencium Hasan bin Ali dan disebelahnya ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi sedang duduk. Ia kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah SAW segera memandang kepadanya dan berkata, Man laa yarham laa yurham, barangsiapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi.”[3] Terdapat banyak lagi hadis dan kisah yang menceritakan tentang kasih sayang Nabi Muhammad SAW kepada keturunannya. Antara hadis-hadis tersebut ialah cerita Abi Qatadah, “Suatu ketika Rasulullah saw. mendatangi kami bersama Umamah binti Abil Ash –anak Zainab, puteri Rasulullah SAW. Beliau meletakkannya di atas bahunya. Beliau kemudian solat dan ketika rukuk, Beliau meletakkannya dan saat bangkit dari sujud, beliau mengangkat kembali.”[4] Selain itu, Usamah bin Zaid ketika masih kecil punya kenangan manis dalam pangkuan Rasulullah saw. “Rasulullah SAW pernah mengambil dan memangku aku di atas pahanya, dan meletakkan Hasan di atas pahanya yang lain, kemudian memeluk kami berdua, dan berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah keduanya, kerana sesungguhnya aku mengasihi keduanya.’”[5] [6] Jelaslah disini bahawa kebahagiaan sebenar sesebuah keluarga itu terletak pada keharmonian dan kasih sayang yang dicurahkan oleh setiap individu dalam keluarga tersebut.

Kesimpulannya, Islam menghendaki hubungan antara suami isteri adalah hubungan yang sangat erat, hubungan yang melengkapi rohani dan jasmani yang kukuh. Oleh sebab itu, segala jalan yang akan merenggangkan ikatan yang suci bagi kedua suami isteri itu hendaklah dicegah dan dihindarkan dengan segala daya dan usaha yang kuat.

Seperti yang kita ketahui, Rasulullah SAW hidup dalam keadaan yang serba sederhana dan berpoligami dalam perkahwinan. Bagaimana beliau dapat membentuk keluarga yang bahagia melalui poligami tersebut? Hal ini boleh dilihat melalui pelbagai aspek seperti perbuatan dan niat perkahwinan itu sendiri yang telah diperjelaskan di atas. Namun, paksinya adalah kembali kepada agama itu sendiri iaitu berdasarkan al-Quran yang telah digambarkan oleh Rasulullah melalui peribadinya.

Agama islam yang telah menggariskan panduan-panduan yang berguna dalam menjalani kehidapan berumahtangga yang harmoni. Hal ini membuktikan bahawa pentingnya kebahagiaan hidup seseorang, kerana kebahagiaan hidup peribadi adalah menjadi tulang belakang kepada kebahagiaan hidup berkeluarga. Seterusnya kebahagiaan hidup berkeluarga adalah menjadi teras bagi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup masyarakat serta negara.

Oleh yang demikian, masyarakat itu dibina dari sebuah keluarga, sudah pasti nilai-nilai yang baik dan murni tidak kelihatan selagi nilai-nilai itu belum diamalkan oleh setiap orang dalam keluarga. Islam telah menentukan hak-hak dan kewajiban seseorang terhadap dirinya dan juga masyarakat.


[1] Surah ar-Rum:21

[2] Surah Al-Ahzab : 28-29

[3] Riwayat Bukhari dalam Kitab Adab, hadits nombor 5538.

[4] Riwayat Muslim dalam Kitab Masajid wa Mawadhi’ush Shalah, hadits nomor 840.

[5]Riwayat Bukhari dalam Kitab Adab, hadits nomor 5544.

No comments: